Kejadian tembak menembak diantara pengganas dan pasukan keselamatan dilaporkan berlaku di Kampung Kembara Sakti kira-kira pukul 11 malam tadi.

Astro AWANI difahamkan,usaha mengepung saki baki pengganas itu sudah dilakukan sejak jam 9 malam.

Difahamkan juga, usaha memindahkan beberapa penduduk di kawasan berkenaan sedang dijalankan kerana kawasan itu bukan kawasan zon merah atau kawasan larangan.

Kampung Kembara Sakti terletak kira-kira 40 kilometer dari Felda Sahabat 17, lokasi utama operasi penggeledahan dan pembersihan sedang giat dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditemui enggan memberikan sebarang ulasan berkenaan insiden itu.

Katanya, satu sidang media mengenai kejadian itu akan dilakukan pada pagi Jumaat.