Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan Cho menyatakan hasrat Seoul untuk turut serta dalam pembangunan tenaga nuklear di Filipina semasa pertemuan itu.
"Menteri Cho menekankan kepentingan loji tenaga nuklear yang merupakan sumber tenaga sangat diperlukan untuk campuran tenaga rasional, dan menyatakan bahawa Korea Selatan ingin menjadi rakan kongsi terbaik Filipina dalam pembinaan loji kuasa nuklear pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Kementerian Luar berkata syarikat Korea Selatan ingin terus mengambil bahagian dalam projek untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan Filipina.
Menurut kementerian itu, Korea Selatan dan Filipina berada di lokasi utama di rantau Indo-Pasifik yang mana mereka perlu memperkukuh "komunikasi strategik untuk keamanan dan kemakmuran serantau".
Dalam hal ini kata kementerian, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan satu lagi mesyuarat dialog maritim dua hala pada November selain bekerjasama untuk meningkatkan tahap keseluruhan hubungan menjelang akhir tahun dengan memperluas bidang kerjasama termasuk industri pertahanan, infrastruktur, pertanian dan tenaga.
-- BERNAMA