Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis telah membuat kawalan di kawasan itu dan setakat ini rumah-rumah berkenaan berada dalam keadaan baik.
"Pihak polis memberikan jaminan kita akan menjaga rumah ini sehingga semua penghuni kembali ke rumah masing-masing," katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Jalan E5, di sini hari ini.
Hussien berkata mesyuarat penyelarasan bencana akan diadakan petang ini bagi memutuskan sama ada semua mangsa yang ditempatkan di PPS dibenarkan pulang ke rumah masing-masing atau tidak, berdasarkan dapatan kajian pergerakan tanah di kawasan itu.
"Selain itu, ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan termasuk menebang beberapa pokok yang berada dalam keadaan tidak stabil dan selepas itu kita akan menilai lagi dari masa ke masa," katanya.
Semalam, siasatan dan kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR mendapati tiada lagi pergerakan tanah dikesan di lokasi tanah runtuh di Jalan E6 Taman Melawati.
Dapatan itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi petang semalam.
Sementara itu, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Jamal Abdul Hamid turun padang untuk meninjau mangsa di PPS berkenaan selain memberikan sumbangan keperluan asas kepada mangsa antaranya barang kelengkapan tidur dan lampin bayi bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.
Tanah runtuh yang berlaku kira-kira 10.15 pagi Selasa lepas akibat hujan lebat memaksa penghuni 20 rumah di Taman Melawati untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Ketika ini seramai 23 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS tersebut manakala kira-kira 10 lagi memilih untuk tinggal di hotel atau menumpang rumah saudara.
-- BERNAMA