Jalan Medang Tanduk di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini akan ditutup sehingga satu tempoh masa yang ditetapkan susulan tanah runtuh yang berlaku akibat tembok penahan yang runtuh sekitar jam 11.40 malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada sekitar 11.40 malam.
“Situasi adalah berbahaya berikutan wujud pergerakan tanah dan batu yang jatuh. Tambah lagi ada projek pembinaan yang sedang dijalankan termasuk pembinaan kondominium di atas bukit. Namun begitu tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Perkara itu juga telah dimaklumkan kepada penduduk sekitar.
Selain anggota Jabatan Bomba, Unit Kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis turut diletakkan dalam keadaan bersedia bagi memantau keadaan.