Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab berhubung kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Sabtu lalu.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, pemimpin DAP itu tidak boleh memandang ringan kejadian tersebut yang membabitkan 11 pekerja termasuk rakyat tempatan terkorban akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.

"Guan Eng tidak boleh mengambil mudah insiden tersebut dan beliau sepatutnya memohon maaf secara terbuka kepada mangsa terbabit.

"Ini bukan soal politik, tetapi ini soal nyawa manusia, mereka tertimbus hidup-hidup akibat kecuaian manusia.

"Nyawa manusia yang terkorban dalam insiden tanah runtuh itu dalam tanggungjawab kerajaan negeri Pulau Pinang dan Guan Eng sewajarnya bertanggungjawab," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Lapan mayat mangsa tanah runtuh belum dituntut

BACA:
Tanah runtuh: Guan Eng patut letak jawatan - Khairul Azwan

Ketua Menteri Pulau Pinang itu ujar beliau tidak sepatutnya menunding jari kepada pihak lain bersabit projek pembinaan perumahan setinggi 50 tingkat.

Syed Ali menyelar DAP hanya 'nampak' kesalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi apabila berkait dengan kecuaian pentadbiran kerajaan Pulau Pinang mereka memberikan pelbagai alasan.

"Musibah yang meragut nyawa manusia mereka pandang sebelah mata, inilah sikap sebenar pentadbiran DAP di Pulau Pinang yang tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah mengakui pembinaan projek perumahan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Alasan kerajaan negeri bahawa agensi lain memberi pengakuan terhadap cadangan pembinaan projek perumahan setinggi 50 tingkat tersebut juga tidak boleh diterima," jelasnya.

Kata Syed Ali, kerajaan negeri dan pemaju sepatutnya melihat kepada risiko terhadap projek tersebut yang tidak mendapat persetujuan daripada JAS yang bertanggungjawab dalam soal struktur alam sekitar.

"Apabila JAS tidak memberi sokongan bermakna agensi berkenaan sudah dapat meramalkan sesuatu yang buruk akan berlaku jika projek berkenaan diteruskan juga," ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengakui projek tersebut tidak mendapat sokongan JAS.

Beliau sebaliknya mendakwa, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meneruskan kebenaran setelah mengambil kira maklum balas dan persetujuan lebih 20 agensi lain.

Sejumlah 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; empat Bangladesh; dua Indonesia; tiga Myanmar dan seorang Pakistan maut apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh. Ketika kejadian pada pukul 8.57 pagi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak pembinaan itu.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang.