Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintenden Suffian Abdullah, operasi SAR digerakkan bagi tujuan ‘flushing' atau pembersihan dan siasatan di lokasi kejadian.
“Walaupun kita percaya semua mangsa telah dijumpai, operasi SAR ini masih diteruskan bagi tujuan ‘flushing’ dan juga siasatan di tempat kejadian.
“Kita jangkakan sekiranya tiada halangan atau perkembangan terbaharu mengenai SAR ini, kita jangkakan esok kita akan maklumkan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Pengarah Operasi JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.
Jelas beliau, operasi SAR pada hari kesembilan melibatkan 80 keanggotaan termasuk bantuan anjing unit pengesan (K9) serta jengkaut.
Dalam masa sama, Suffian menzahirkan penghargaan kepada semua anggota SAR terlibat dan rakyat Malaysia yang mendoakan proses pencarian mangsa yang berjalan selama sembilan hari.
“Saya dengan ini sebagai komander operasi di tempat kejadian bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan semua agensi, mengucap terima kasih atas komitmen yang diberikan,” ujarnya.
Setakat ini, seramai 31 mangsa disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh berkenaan, sementara 61 individu selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat.
Terdahulu, mayat mangsa ke-31 ditemukan pasukan SAR di sektor A pada pukul 4.53 petang di dalam ‘sleeping bag’