KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang selepas terjatuh di dalam lubang ekoran kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, ditangguhkan selepas tiada petunjuk baharu ditemukan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata pasukan penyelamat sudah menjalankan pencarian di enam lurang kumbahan sekitar lokasi dan di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam hari ini.

"Hasil pencarian hingga 7 malam tadi tidak menemukan sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

"Pada masa sama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Awam dan IWK akan berbincang bagi melakukan pencarian di lokasi awal (Jalan Masjid India) selepas ini," katanya pada sidang media di lokasi kejadian malam ini.

Sulizmie Affendy berkata lokasi pencarian masih tertumpu di enam lurang terbabit termasuk di loji kumbahan IWK Pantai Dalam.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak bercadang meluaskan kawasan pencarian ke lokasi lain kerana tempat mangsa terjatuh membabitkan laluan di enam lurang kumbahan berkenaan.

"Kita tidak akan keluar daripada skop pencarian dan akan melaksanakan tindakan yang difikirkan kemungkinan mangsa berada di situ," katanya.

Terdahulu, Sulizmie Affendy berkata enam lurang kumbahan sekitar insiden tanah jerlus di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di sini dibuka sejak pagi tadi secara berperingkat bagi meluaskan kawasan pencarian.

Enam lokasi itu ialah di Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar dan Bulatan Kinabalu.

Dalam kejadian pagi semalam, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan untuk menuju ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian itu berlaku.

-- BERNAMA