KUALA LUMPUR: Meskipun arus air tidak deras dan paras air tidak begitu tinggi namun gas beracun yang berada dalam pembetung membahayakan pasukan mencari dan menyelamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kuala Lumpur, Fatta M Amin berkata, mengambil kira situasi tersebut, hanya seorang anggota dibenarkan masuk ke ‘manhole’ bagi mencari mangsa insiden tanah jerlus.

“Dalam pembetung, saiznya agak besar tapi bagi mengelak kecelakaan berlaku, kita letakkan seorang pegawai sahaja untuk masuk ke situ.

“Sebab bawah itu penuh dengan gas beracun. Anggota yang masuk pun pakai sut lengkap supaya tiada gas beracun dihidu anggota bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi kejadian di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi kawasan berkenaan buat seketika.

“Kita minta kerjasama daripada orang awam untuk berikan ruang kepada pihak berkuasa jalankan operasi pencarian.

“Kita juga ingin beri nasihat kepada peniaga untuk menutup perniagaan sementara.

“Kita hendak elakkan gas yang berada di ‘manhole’ ini kerana kita bimbang ia akan beri kesan tidak baik kepada kesihatan mereka,” ujarnya.

Insiden pada 8.20 pagi semalam menyaksikan seorang warga wanita India, Jayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter ketika berjalan bersama keluarganya di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.