KUALA LUMPUR: Kerja penilaian integriti tanah di laluan saluran kumbahan di Jalan Masjid India di sini dijangka selesai hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kerja penilaian itu dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah.

Kenyataan sama juga memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India diteruskan pagi ini selepas ditangguhkan malam tadi akibat hujan lebat.

"Pasukan SAR akan meneruskan kerja-kerja pencarian mangsa dengan memberikan tumpuan di kawasan kejadian," menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat lepas, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di jalan berkenaan semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan anjing pengesan.

-- BERNAMA