KUALA LUMPUR: Pemetaan utiliti perlu dilakukan sekarang dengan kesanggupan untuk menanggung kos yang tinggi, memandangkan ia memerlukan penggunaan teknologi yang pelbagai. 


Ringkasan AI
  • Pemetaan utiliti memerlukan penggunaan teknologi yang pelbagai dan kos yang tinggi pada permulaan, tetapi ia adalah pelaburan untuk menyelesaikan masalah masa depan.
  • Peta utiliti perlu dikemaskini secara berkala untuk memastikan ketepatan dan keberkesanan dalam jangka panjang, yang akan mengurangkan kos penyelenggaraan.
  • Walaupun kos pelaksanaan awal tinggi, pemetaan utiliti akan membantu menyelesaikan masalah seperti tanah mendap dan jerlus.


Felo Kehormat Pusat Kejuruteraan Geotropika Universiti Teknologi Malaysia (GEOTROPIK), Prof. Ramli Nazir berkata, ini merupakan pelaburan untuk menyelesaikan sebarang masalah pada masa akan datang.

“Sepatutnya kita sudah ada peta utiliti ini. Setiap masa kita boleh kemas kini peta tersebut. Memandangkan kita mungkin tidak ada peta utiliti berkenaan, maka untuk permulaan ini perbelanjaannya agak besar. 

“Ini kerana sistem yang digunakan untuk buat imbasan, pemetaan dan sebagainya, agak tinggi belanjanya. Tetapi selepas kita ada sistem tersebut, maka tambah baik akan jadi lebih murah. 

“Seolah-olah kita bina sebuah rumah, kemudian kita mahu menyelenggara rumah tersebut, maka kosnya akan jadi lebih murah. Begitu juga dengan pemetaan utiliti ini.

"Walaupun kos pelaksanaannya tinggi, tetapi ia akan banyak membantu dan menyelesaikan masalah pada akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Kos pemetaan utiliti tinggi sekarang, demi menyelesaikan masalah pada masa akan datang - Pakar

Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan akan melaksanakan audit integriti bagi mencari punca tanah mendap dan jerlus di sekitar kawasan Masjid India. 

Pada 23 Ogos lalu, seorang pelancong warga India, Vijayalechumy, 48, terjatuh ke dalam tanah jerlus berkedalaman lapan meter di Jalan Masjid India.

Ia disusuli dengan insiden tanah jerlus yang berlaku berdekatan Pondok Polis Masjid India awal pagi 28 Ogos.