KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga India yang terjatuh dalam tanah jerlus pada Jumaat dipercayai berjalan kaki dari Selangor Mansion sebelum terjatuh ke dalam lubang yang tiba-tiba terjadi berhampiran kerusi konkrit di hadapan Masjid India, di sini.

Kronologi itu hasil paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. Turut kelihatan seorang lelaki hampir terjatuh, namun sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, Pondok Polis Masjid India menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 8.30 pagi.

"Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

"Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan," katanya di lokasi kejadian, di sini, pada Jumaat.

Sulizmie berkata, seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (lima) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (empat) turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

"Pihak DBKL, anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian," katanya.

Mengulas lanjut, Sulizmie memaklumkan keadaan sekitar lokasi kejadian masih selamat, namun perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan sama ada kawasan tersebut ditutup atau sebaliknya.

"Kita belum buat keputusan untuk menutup kawasan ini sepenuhnya, kita rasakan ia masih selamat.

"Kita akan buat beberapa analisis nanti dan jika dirasakan perlu ditutup akan memaklumkan kelak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, pihaknya menggunakan bantuan mesin serta jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi tersebut.

"Mesin dan jentera itu digunakan setelah pencarian secara manual gagal menemui mangsa.

"Jengkaut itu digunakan untuk mengorek tanah dengan lebih luas di lokasi tanah jerlus," katanya. - Sinar Harian