ALOR SETAR: Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Norhafiz Abdul Wahid berkata kenaikan itu adalah di antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.

"Bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi, kadar kenaikan RM3 iaitu daripada RM21 ketika ini kepada RM24 bagi dewasa warganegara dan daripada RM16 kepada RM19 bagi kanak-kanak warganegara.

"Kenaikan RM3.50 pula dikenakan bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi iaitu daripada RM26.50 kepada RM30 bagi dewasa warganegara dan RM20.50 kepada RM24 bagi kanak-kanak warganegara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhafiz berkata kadar tambang bagi bukan warganegara untuk laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi pula dinaikkan RM8 bagi dewasa iaitu daripada RM27 kepada RM35 dan RM19.50 kepada RM25 bagi kanak-kanak.

Bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi, kadar tambang bagi dewasa bukan warganegara dinaikan RM10.50 iaitu daripada RM34.50 kepada RM45 dan daripada RM25.50 kepada RM32 bagi kanak-kanak bukan warganegara.

Beliau berkata kadar tambang bagi penduduk Langkawi pula masing-masing dinaikkan sebanyak RM3 dan RM3.50 bagi kedua-dua laluan berkenaan untuk dewasa dan kanak-kanak.

"Tambang penduduk Langkawi bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dinaikkan kepada RM18 untuk dewasa dan kepada RM13 untuk kanak-kanak, manakala bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi pula kadar baharu adalah RM23.50 bagi dewasa dan RM17.50 bagi kanak-kanak," katanya.

Norhafiz berkata tiada kenaikan tambang untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang masing-masing kekal pada kadar RM13 dan RM17 serta RM10 dan RM14 bagi kedua-dua laluan itu.

Beliau berkata kadar tambang perkhidmatan feri syarikat itu sepatutnya telah dinaikkan pada 5 Ogos 2022 iaitu RM6 bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dan RM7 bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi.

Namun beliau berkata kenaikan tersebut dikurangkan 50 peratus ketika itu atas faktor pemulihan pasca COVID-19.

-- BERNAMA