PUTRAJAYA: Kerajaan mungkin menggunakan trak vaksin bergerak ke kediaman setiap pendaftar suntikan vaksin jika individu berkenaan masih enggan menghadiri janji temu yang telah dibuat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah memberikan kebebasan kepada setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mengatasi masalah ketidakhadiran pendaftar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Jelas Khairy, inisiatif tersebut untuk memastikan penduduk di negara ini mendapat vaksinasi dalam apa jua keadaan. 

"Kita telah buat keputusan untuk empower Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Kesihatan Daerah untuk melaksanakan apa jua kaedah untuk memastikan bahawa mereka dapat menerima vaksinasi.

“Sebagai contoh beberapa hari yang lepas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah minta kebenaran CITF untuk melaksanakan ‘mobile unit’ untuk pergi ke kampung dan memberikan vaksinasi rumah ke rumah.

“Jadi, ini telah berjaya dilaksanakan dan kita bagi kebebasan kepada negeri dan daerah untuk mengatasi masalah ketidakhadiran ini.

“Kalau mereka enggan keluar dari rumah, kita akan menggerakan unit mobile kita untuk pergi ke mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khairy berkata demikian ketika ditanya masalah ketidakhadiran pendaftar vaksin termasuk disebabkan oleh isu logistik, selain langkah yang boleh diambil untuk memastikan individu berkenaan hadir ke PPV.

Hadir sama ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengulas mengenai  pendaftar vaksin yang didakwa menerima tempat vaksinasi di negeri berbeza pula, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, perkara itu sedang disiasat.

Setakat ini jelas Khairy, ia dikesan berpunca kerana masalah berkaitan API Google Maps.

“Sebagai contoh, orang itu tinggal di Taman Bahagia di Kuala Lumpur. Mereka taip 'Taman Bahagia' dan semua (lokasi bernama) 'Taman Bahagia' keluar dalam Google API.

"Mereka kemudian klik pada 'Taman Bahagia' yang pertama (dalam senarai itu) dan akhirnya mereka dapat Taman Bahagia, Sandakan, Sabah,” katanya.

Justeru, jelas Khairy orang ramai dinasihatkan untuk mengemas kini alamat terkini masing-masing di aplikasi MySejahtera bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Selain itu, ciri bantuan interaktif akan dimasukkan dalam aplikasi tersebut bagi memudahkan pengguna.