LABUAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyifatkan tahun pertama beliau menggalas tanggungjawab terhadap pulau bebas cukai ini sebagai satu pencapaian yang produktif, namun mengakui, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan.

Dr Zaliha yang memulakan tugas selaku menteri berkenaan pada 12 Dis 2023 berkata, satu daripada isu yang berlarutan di Labuan iaitu gangguan bekalan air dan elektrik telah menunjukkan kemajuan ketara. 

“Maklum balas daripada orang ramai menunjukkan bahawa gangguan ini telah berkurang dengan ketara, terima kasih atas peruntukan RM300 juta yang diluluskan tahun lepas sebagai usaha menyelesaikan masalah bekalan air," katanya.

Beliau berkata, pembinaan loji jana kuasa baharu oleh Petronas sedang dijalankan, dengan dijangka siap pada 2027.

“Loji ini akan menghasilkan kuasa yang jauh melebihi keperluan harian semasa Labuan iaitu 55 hingga 80 megawatt, sekali gus menyediakan kapasiti yang mencukupi untuk pertumbuhan industri pada masa hadapan," katanya sambil menambah bahawa keutamaan beliau adalah untuk menambah baik kemudahan asas pulau ini seperti bekalan air dan elektrik untuk menarik pelaburan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Bagi meningkatkan pelancongan dan ketersambungan Labuan, Dr Zaliha berkata, kedua-dua perkara berkenaan turut diberi perhatian pihaknya.

“Kita telah menyaksikan peningkatan 21.8 peratus dalam ketersambungan udara dan peningkatan luar biasa sebanyak 78.2 peratus bagi perkhidmatan feri berbanding tahun lepas, ketersambungan Labuan terus bertambah baik dengan pertambahan penerbangan oleh AirAsia baru-baru ini," katanya. 

Dr Zaliha berkata, ia sekali gus telah menyumbang kepada peningkatan 16.1 peratus dalam kedatangan pelawat ke Labuan, iaitu daripada 735,939 orang pada 2023 kepada 854,684  orang setakat September 2024 manakala kadar penghunian hotel turut meningkat sebanyak 92.5 peratus dalan tempoh sama.

Beliau berkata, untuk memanfaatkan potensi Labuan, tiga pasukan petugas khas yang menumpukan kepada pelancongan, pemindahan kargo dan pembangunan infrastruktur termasuk projek jambatan (Labuan-Menumbok) telah ditubuhkan.

“Pasukan ini giat merancang usaha untuk menjadikan Labuan sebagai destinasi utama untuk pelancongan dan perniagaan," kata Dr Zaliha.

Berkaitan komitmen untuk memperkasakan komuniti tempatan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk, beliau berkata inisiatif Lestari Niaga dengan peruntukan RM2.3 juta telah memberikan sokongan penting kepada perniagaan tempatan, dengan melaksanakan tujuh projek bermatlamat membantu usahawan kecil dan peniaga khususnya dalam kalangan B40.

"Kami telah menyediakan kemudahan mesra perniagaan di kawasan seperti Taman Perumahan Mutiara dan Kampung Sungai Bedaun untuk membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Dr Zaliha turut menekankan kejayaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang memberi tumpuan kepada keperluan ekonomi dan kebajikan terutama bagi keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan.

“Inisiatif ini sebahagian daripada usaha untuk membasmi kemiskinan tegar dengan pendekatan keseluruhan negara.

"Saya berasa yakin dapat bekerjasama dengan pasukan yang berkemampuan dan kami akan terus memantau serta menambah baik inisiatif bagi memenuhi keperluan rakyat," katanya. - BERNAMA