Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan selama 40 minit apabila kakinya tersangkut di dalam mangkuk tandas awam di Stesen Keretapi Gua Musang, Kelantan hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.20 pagi itu, mangsa dipercayai ke tandas untuk membuang air kecil sebelum tergelincir lalu kaki kanannya termasuk ke dalam lubang tandas sehingga paras buku lali.

Kejadian itu menyebabkan mangsa, Nor Fazilahtulakma Pauzan, 28 tahun, yang berasal dari Kampung Keledek, Kuala Lipis, Pahang terseliuh kaki.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II, Hasri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.22 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Tandas

Katanya, seramai sembilan anggota diarah ke lokasi berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan.

Pihak bomba terpaksa memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki wanita terbabit.

Operasi menyelamat mengambil masa 33 minit dan mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan jentera Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) untuk rawatan.

Operasi dilaporkan berakhir pada pukul 7.03 pagi.