BARISAN menteri Kabinet dijadual mengangkat sumpah pada Isnin.

Namun satu portfolio yang dinanti-nantikan oleh golongan muda ialah jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Ia menggantikan Menteri sebelum ini iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ini juga merupakan antara portfolio penting yang mengambil kira hal ehwal anak-anak muda Malaysia.


Perbualan di media sosial semakin rancak oleh mereka yang masih tertanya-tanya siapa bakal mengisi jawatan ini.

Secara amnya, netizen mengharapkan calon dipilih adalah berdasarkan kelayakan agar ia kekal relevan.


Antara nama yang disebut-sebut untuk memegang jawatan itu adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.




Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menerima sokongan netizen untuk menjadi Menteri Belia dan Sukan.



Muka baharu dalam politik negara, Fahmi Fadzil yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai juga mempunyai potensi untuk menjadi Menteri Belia dan Sukan.



Pada Jumaat, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan senarai nama untuk 15 Menteri Kabinet baharu.

Menurut kenyataan perdana menteri, antara yang tersenarai adalah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi manakala Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.


Senarai yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara dan Baginda telah memperkenankan senarai itu.



Tun Mahathir sebelum ini turut berkata Pakatan Harapan mahu perkecilkan Kabinet kepada 25, jumlahnya boleh ditambah pada masa hadapan bergantung kepada keperluan.

Senarai penuh kabinet difahamkan akan diumumkan kemudian.