Tiga maut manakala tujuh lagi cedera apabila sebuah kenderaan SUV merempuh sebuah treler di Kilometer 42, Jalan Pesisir Bintulu-Miri di sini pada petang Rabu.

Kejadian pada jam 1.40 petang itu berlaku ketika SUV jenis Toyota Fortuner yang dipandu Ngindang Bau, 61 tahun, yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu ketika dihubungi berkata, akibat rempuhan tersebut tiga penumpang SUV tersebut menemui ajal di tempat kejadian.

"Tujuh lagi mengalami pelbagai jenis kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Bintulu oleh orang awam.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, kesemua mangsa yang terbunuh adalah wanita.

“Mereka dikenal pasti sebagai Gensa Unggau, 36, Nuai Bakar, 23 dan Lengidi Koling, 57.

“Antara yang cedera pula termasuk dua kanak-kanak, masing-masing berusia lima tahun dan setahun,” katanya.



Mangsa yang terbunuh dan cedera merupakan pemandu dan penumpang kenderaan SUV manakala pemandu treler dan kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.