ALOR SETAR: Suspek kejadian bunuh seorang lelaki warga emas yang dipercayai bisu di hadapan Sekolah Kebangsaan Suka Menanti di sini direman 7 hari bermula hari ini sehingga 2 Mac untuk polis meneruskan siasatan.

Tempoh tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, reman ke atas suspek berusia 30-an itu terpaksa dilakukan di HSB berikutan suspek masih menerima rawatan.

Katanya, dengan penahanan suspek polis telah berjaya menyelesaikan kes pembunuhan terbabit.

Dalam kejadian semalam mangsa, mangsa Chua Hock Soon @Chua Leok Eng, 70 tahun ditemui orang awam ditinggalkan di hadapan Sekolah Kebangsaan Suka Menanti, pada jam 6 petang.

Mangsa dipercayai dibunuh di Lebuhraya Sultan Abdul Halim sebelum mayat mangsa dibawa menaiki kereta dan dibuang di hadapan sekolah.

Sebelum kejadian dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek dengan mangsa sebelum mangsa dibunuh dengan kejam.

Leher mangsa ditikam dipercayai dengan menggunakan sebilah parang.

Suspek juga turut melanggar seorang penunggang motosikal sehingga mengalami kecedaraan parah ketika cubaan melarikan diri dengan memandu sebuah kereta.

Sejurus perlanggaran terbabit suspek ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.