SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menziarahi Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis semalam.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Menurut hantaran menerusi Facebook Selangor Royal Office, kunjungan hormat dan ziarah baginda itu adalah bagi melihat sendiri keadaan kesihatan sebenar Tuanku Syed Sirajuddin, sekali gus menyantuni keakraban dalam kalangan Raja-Raja Melayu.

Baginda berdua yang tiba di Istana Arau kira-kira 11 pagi meluangkan masa serta beramah mesra bersama Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid hingga lewat petang.

"Baginda berdua kemudian berkenan mengiringi Raja Perlis kembali ke Wad Diraja Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, sebelum berangkat pulang ke Shah Alam," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA