SHAH ALAM:Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya sambutan perayaan Thaipusam dilakukan secara sederhana di rumah masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Istana Alam Shah dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini menyatakan baginda turut berpesan kepada yang terpilih menyertai pergerakan membawa pedati ke Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves supaya mematuhi SOP ketat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Melihat kepada statistik terkini COVID-19 di Selangor sejak dua bulan lepas yang menunjukkan peningkatan ketara angka kes positif dan jumlah kematian, baginda menasihatkan supaya semua rakyat terus mengikuti garis panduan dinyatakan dengan tegas oleh pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin tetap berharap perayaan Thaipusam kali ini diraikan dalam suasana harmoni serta aman.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Thaipusam kepada penganut Hindu di Selangor dan seluruh negara.

-- BERNAMA