KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan sebuah jawatankuasa dibentuk bagi pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd. 

Selangor Royal Office dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab bagi menghasilkan kertas kerja yang terperinci untuk mengenalpasti kaedah pemulihan terbaik melibatkan lebih 600 kanak-kanak terbabit.

"Baginda mahu perkara ini dikendalikan dengan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana membabitkan masa depan kanak-kanak yang terlibat," kata kenyataan itu hari ini.

Selangor Royal Office menambah, jawatankuasa yang ditubuhkan itu perlu melapor terus kepada Sultan Selangor serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak terbabit.

SEMUA BERKAITAN GISB HOLDINGS DI SINI 



"Ia seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan," tambah kenyataan itu.

Sebelum itu, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Semalam, media melaporkan seramai 662 kanak-kanak diselamatkan daripada rumah amal yang terkait GISB mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Setakat ini, seramai 359 pengikut GISB turut ditahan dalam Op Global bermula Sept 11, termasuk pengurusan tertinggi syarikat berkenaan. 

Beberapa negeri termasuk Perlis, Selangor serta Pahang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISB  yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai sesat dan menyeleweng.