Baginda bertitah tanggungjawab berkenaan tidak boleh dipisahkan atau dipecah-belahkan atas dasar fahaman politik atau perbezaan ideologi bahkan agama Islam mengajar untuk bersama-sama bersatu dan bekerjasama demi menjaga kebaikan.
"Tidak kiralah apa warna dan logo bendera, kita sebagai umat Islam perlu meletakkan agama sebagai asas kehidupan dan tidak membiarkan perbezaan politik menjadi asbab kelemahan perpaduan umat. Ingatlah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
"Saya amat berharap agar semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik di Pahang khususnya dapat bersatu dalam menjaga kesucian Islam," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1446 Hijrah/2024 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut berangkat ke sambutan itu Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan exco kepimpinan kerajaan negeri.
Al-Sultan Abdullah bertitah biarpun wujud perbezaan dan perselisihan, akhirnya semua perlu bersatu demi kebaikan bersama.
Dalam pada itu, baginda turut menyuarakan kebimbangan apabila melihat perubahan berlaku dalam masyarakat hari ini khususnya cabaran dihadapi anak muda ketika ini.
"Dunia semakin pantas berubah dan pengaruh negatif dari luar mudah meresapi jiwa anak-anak muda kita. Saya ingin mengingatkan anak-anak muda yang merupakan tunjang masa depan negara agar sentiasa meneladani akhlak mulia Rasulullah SAW.
"Generasi muda perlu dibentuk dengan sahsiah yang baik, iman yang kukuh dan akhlak yang terpuji agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi," titah baginda.
Sehubungan dengan itu, Sultan Pahang bertitah usaha membangunkan sahsiah generasi muda harus diperkukuh dengan pendidikan agama yang mantap, bimbingan berterusan dan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat.
"Kita perlu mempersiapkan mereka untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak," titah baginda.
-- BERNAMA