KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kekurangan nilai integriti, menyebabkan tanah di Pahang sudah mula 'dijajah' oleh pendatang asing secara terang-terangan.

Mengambil contoh tanah di Cameron Highlands, Al-Sultan Abdullah bertitah tanah di kawasan itu yang dipajak dan disewa kepada petani, kini disewakan kepada warga asing kerana mengikut nafsu dan pentingkan wang ringgit, sehingga menggadai integriti.

"Malah, lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai 'tauke' yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.

"Oleh itu, beta mahu kerajaan beta memantau aktiviti ini dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan aktiviti seperti ini tidak lagi berlaku. Tiada kompromi terhadap isu seperti ini daripada beta," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur, sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan supaya mereka yang dipertanggungjawabkan menggalas amanah ini, melaksanakannya dengan penuh integriti dan tidak sesekali gelap mata apabila ditawarkan dengan imbuhan wang ringgit.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua rakyat negeri ini bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, berkaitan segala bentuk jenayah dan salah laku kerana usaha ini memerlukan tanggungjawab bersama.

Dalam pada itu juga, baginda mahu kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji dengan mendalam rancangan pembangunan di Cameron Highlands, khususnya masa akan datang kerana pendekatan holistik, tegas dan lestari, akan menyelamatkan kawasan itu daripada kerakusan dan tindakan tidak bertanggungjawab.

Al-Sultan Abdullah juga turut menyentuh mengenai pemeliharaan sungai dan mengingatkan semua pihak, untuk bersama-sama berganding bahu memelihara alam sekitar bagi tujuan kelestariannya pada masa kini dan akan datang.

Selain itu, baginda bertitah kes pemerdagangan dan penyeludupan migran merupakan isu yang perlu dipandang serius kerana jika tidak ditangani dengan baik, impaknya tidak hanya kepada ancaman keselamatan tetapi juga kepada keharmonian sosial, ekonomi dan sektor pembangunan lain.

"Beta disembah maklum bahawa terdapat sindiket yang menjadikan Pahang sebagai transit jenayah ini, menerusi jalan darat mahupun laut. Sehubungan dengan itu, beta mahukan semua agensi penguat kuasa untuk bertindak lebih agresif dan berterusan bagi membanteras jenayah ini secara efektif," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kesyukuran dengan prestasi ekonomi kerajaan negeri yang disifatkan berada pada landasan tepat, namun kerajaan perlu memastikan pelaksanaan projek pembangunan diselia dengan teliti dan terancang bagi mengelakkan pembaziran dan ketirisan.

Selain itu, baginda mengingatkan penerima Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Pahang Darul Makmur bahawa pingat yang diterima bukanlah sekadar satu penghargaan tetapi juga amanah dan membawa tanggungjawab yang besar.

"Beta ingin ingatkan juga di sini, beta tidak sesekali berkompromi dan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan, sekiranya terdapat salah laku yang menjejaskan nama baik institusi beraja dan negara dalam kalangan penerima," titah baginda.

Pada istiadat berkenaan, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran.

Tunku Azizah dikurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) bersama lapan lagi penerima termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

-- BERNAMA