KUALA LUMPUR: Kajian menilai taburan suhu yang dijalankan oleh sebuah organisasi regenerasi bandar yang berorientasi masyarakat, Think City mendedahkan lima bandar raya utama di Malaysia merekodkan peningkatan suhu yang ketara sejak beberapa dekad yang lalu.

Selain Bayan Lepas dan George Town di Pulau Pinang, bandar raya lain yang tersenarai mengalami peningkatan suhu secara konsisten adalah Kuala Lumpur; Johor Bahru, Johor dan Ipoh, Perak.

Kumpulan analitik Think City memaklumkan bentuk muka bumi,  ciri geografi antara satu lokasi dan satu lokasi serta tempoh masa kajian adalah berbeza.

Penganalisis Geospatial Think City, Dr Ceelia Leong berkata, hasil kajian mendapati kenaikan suhu di bandar raya utama negara itu disumbangkan oleh faktor pemanasan global berikutan  kekurangan kelembapan yang  dilepaskan oleh tumbuh-tumbuhan ke udara.







BACA: Cuaca panas: Kerajaan kaji langkah lindungi sektor komoditi


Musim panas & kering | Jangan lakukan pembakaran terbuka - KASA

Menurutnya, campuran bitumen dan konkrit yang digunakan dalam struktur pembinaan yang bertindak menyerap cahaya matahari akan memancarkan semula cahaya tersebut dengan jumlah yang lebih tinggi.

Kajian itu dilakukan menggunakan pemantauan peta satelit yang berupaya mengesan perubahan suhu antara 13 dan 32 tahun, tambahnya.


Cuaca Panas | Malaysia berdepan fenomena El-Nino?

"Terdapat dua ciri jelas yang menguatkan kajian ini. Pertama, bandar-bandar di Malaysia menjadi semakin penas dengan peningkatan intensiti pembangunan yang menyumbangkan kepada perubahan suhu.

"Keduanya, peta satelit menunjukkan penghijauan bandar yang menjadi salah satu kaedah penjagaan dan pengawalan alam sekitar merekodkan penurunan antara dua dan lapan darjah Celsius," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed memberitahu, tujuan kajian itu dijalankan adalah bagi memberi gambaran jelas mengenai perubahan suhu di bandar raya yang pesat membangun.

Menurutnya, hasil kajian itu penting bagi membolehkan agensi yang berkaitan untuk membuat strategi dan mencari penyelasaian yang lebih tepat.

"Ia juga adalah satu amaran awal serta mendidik orang ramai mengenai perubahan iklim yang melampau," jelasnya.