Dana tersebut diserahkan kepada Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dalam satu majlis makan malam penghargaan yang berlangsung di Copper Chimney, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kempen itu dilancarkan dengan menjual pin enamel edisi khas berharga RM20 setiap satu, dan hasil jualan disalurkan kepada MAHAR.
Inisiatif ini membuktikan bahawa walaupun nilai sumbangan kecil, ia mampu memberikan impak besar jika diusahakan secara kolektif.
Presiden MAHAR, Jismi Johari dalam ucapannya menegaskan, betapa pentingnya usaha kolektif untuk membantu mereka yang memerlukan.
Katanya, kempen ini bertujuan membantu rakyat Palestin yang sedang berdepan krisis kekurangan makanan dan keperluan asas, terutama menjelang musim sejuk yang bakal tiba.
“Fokus pertama bantuan dari kempen ini adalah pakaian dan perkakasan musim sejuk.
“Usaha bantuan ini sangat penting buat rakyat Palestin kerana ia dapat meringankan beban dan membawa harapan baru bagi meneruskan kehidupan buat mereka,” katanya.
Dalam ucapannya, Jismi turut memaklumkan, bahawa kempen ini adalah simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin dan mencerminkan nilai ihsan serta belas kasihan.
Melalui dana yang berjaya dikumpulkan, SPKK berharap usaha ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak sumbangan dan kesedaran terhadap isu-isu kemanusiaan global.
SPKK turut menyeru orang ramai, syarikat korporat dan organisasi lain untuk menyertai usaha mulia ini bagi memastikan penderitaan rakyat Palestin dapat diringankan.