Beliau berkata langkah itu perlu bagi membincangkan undang-undang yang tidak lagi relevan atau sesuai dengan era digital dan perlu ditambah baik agar seiring dengan peredaran masa.
"Saya dah pun minta supaya KSU-KSU ini dan kita akan ada sekurang-kurangnya dua hingga tiga perjumpaan setahun. Ini kali pertama Speaker panggil semua KSU, Alhamdulillah respons cukup baik.
"Saya ingat kita akan ada pertemuan kedua mungkin pada masa Bajet (2025) ini, ia akan berikan ruang kepada KSU berhubung terus dengan pejabat saya melalui Setiausaha Dewan," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Johari berkata beliau tidak meletakkan garis masa untuk sebarang cadangan daripada KSU kerana usaha itu adalah proses berterusan dan mereka di peringkat Parlimen akan membantu dalam hal berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika terdapat kajian terhadap akta lama di peringkat Parlimen.
Menyentuh mengenai lawatan kerja hari ini, Johari berkata beliau belajar tentang beberapa perkara di Perak termasuk bantuan kepada Ahli DUN (ADUN).
"Contohnya, Perak telah pun memulakan langkah membantu ADUN dari segi pusat perkhidmatan beliau, saya juga dulu ADUN di Kedah tetapi nak dapat peruntukan pusat perkhidmatan itu terpaksa berperang di Dewan," katanya.
"Yang kedua, di Perak juga ada jawatankuasa pilihan yang spesifik menjurus kepada isu tertentu contohnya mengenai isu lalat. Nampak macam jenaka tapi itulah realiti bahawa dengan adanya jawatankuasa pilihan ini, bukan sahaja inisiatif Speaker tetapi juga boleh melibatkan semua pihak," katanya.
Beliau berkata kewujudan jawatankuasa pilihan khas itu mampu menyelesaikan masalah berbangkit dengan lebih mudah.
Turut hadir Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Timbalannya, Jenny Choy Tsi Jen.
Ini adalah lawatan kerja ketiga Johari ke DUN selepas Melaka dan Negeri Sembilan.
Johari juga berkata isu berkaitan Akta Anti Lompat Parti mungkin menjadi tumpuan pada Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2024 yang berlangsung September ini.
"Ya, mungkin ada soalan itu walaupun ia tiada dalam agenda sebenarnya tetapi ia tidak menghalang untuk Speaker bertanya supaya berlaku pemahaman.
"Harus diingat setiap negeri ada undang-undang tubuh masing-masing, jadi mungkin apa yang berlaku di Parlimen itu sebagai garis panduan kerana pada akhirnya, negeri ada hak masing-masing. Insya-Allah, ia mungkin dalam perbincangan...," katanya.
Johari berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada akta itu akan dibincang pada persidangan tersebut kerana sebelum ini terdapat pihak yang menyuarakan isu berkaitan kelompongan undang-undang berkenaan.
-- BERNAMA