KUALA LUMPUR: Songket yang digelar 'Ratu Kain' dalam tenunan Melayu sekali lagi berjaya melakar sejarah, apabila disenaraikan di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada sesi ke-16 Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sesi tersebut berlangsung pada 13 hingga 18 Dis ini secara dalam talian dari Ibu Pejabat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis.

"Keputusan tersebut diumumkan hari ini pada 5.55 petang (waktu Malaysia) dan diputuskan oleh jawatankuasa itu yang dianggotai 24 Negara Anggota 2003 Konvensyen untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara, dipengerusikan Sri Lanka.

"MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara telah mencalonkan songket di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO. Dokumen pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara ini telah dikemukakan kepada pihak sekretariat UNESCO pada 31 Mac tahun lalu," menurut kenyataan itu.

Penyenaraian di bawah Senarai Wakil UNESCO merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia untuk warisan kebudayaan tidak ketara, yang dapat mempromosi dan mengetengahkan warisan di peringkat dunia.

Selain itu ia memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu memfokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

"Ia secara tidak langsung akan mengangkat visibiliti Malaysia di mata dunia, sebagai antara negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang boleh menjadi tarikan pelancong serta memberi peluang ekonomi kepada negara melalui industri berkaitan," menurut kenyataan itu.

Pengiktirafan itu juga menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara Malaysia yang tersenarai di bawah Senarai Wakil telah bertambah kepada enam selain Mak Yong, Dondang Sayang, Silat, Upacara Wangkang dan Pantun.

Tambahnya, pengiktirafan itu juga bakal meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi kelestarian seni dan warisan pelbagai etnik dan kaum, termasuk pengamal seni di negara ini.

Ia juga memberikan galakan serta motivasi kepada golongan muda untuk berkecimpung dalam seni tenunan Songket, sejajar permintaan dan nilai pasaran yang tinggi selain terus didorong membawa inovasi baharu terhadap reka bentuk dan motif tenunan warisan itu.

-- BERNAMA