ALOR SETAR: Kreatif, itu adalah ungkapan terbaik buat inisiatif yang diilhamkan usahawan muda Nazkids Enterprise yang menghasilkan pelbagai aksesori menggunakan lebihan kain songket dalam usaha untuk mengelakkan pembaziran.

Beroperasi sejak 2015, Nazkids Enterprise yang bertapak di Bandar Darulaman, Jitra adalah sebuah perusahaan menghasilkan baju eksklusif tradisional untuk bayi dan kanak-kanak seperti baju Melayu, kain samping dan tengkolok daripada songket.

Pengasas bersama Nazkids Enterprise Khairunnisa Ahmad Zamri, 36, berkata bagi mengelak pembaziran tekstil berharga ini, syarikatnya turut menghasilkan tiga produk aksesori iaitu pelitup muka, tali rantai kunci dan lanyard menggunakan kain lebihan tekstil berkenaan.

"Penghasilan pakaian bayi dan kanak-kanak tidak memerlukan kain songket yang banyak kerana saiz yang kecil, jadi memang akan ada banyak lebihan kain dan sebelum ini, kami buang begitu sahaja.

"...Jadi dari situ datangnya idea untuk menghasilkan tiga aksesori berkenaan dan kami berjaya mengurangkan kadar pembaziran sehingga 90 peratus," katanya ketika ditemui sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah di Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata aksesori pelitup muka songket mula dihasilkan syarikat pada penghujung 2020 kerana pada masa itu terdapat banyak permintaan daripada bakal pengantin yang mahukan pelitup muka yang cantik untuk digayakan bersama busana pengantin mereka.

"Daripada menghasilkan pelitup muka, kami terfikir sekiranya selepas ini penggunaannya tidak lagi diwajibkan, maka timbul persoalan apakah produk lain yang boleh dihasilkan dengan lebihan kain songket berkenaan?. Maka terhasil lah tali rantai kunci dan lanyard songket," katanya menambah harga produk berkenaan dijual antara RM6 hingga RM19.

Bercerita lanjut, Khairunnisa berkata dalam tempoh sejam syarikatnya dapat menghasilkan 10 helai pelitup muka, 10 hingga 15 unit lanyard serta 20 tali rantai kunci dengan dibantu 10 pekerja di kedai dua tingkat terletak di pekan Jitra.

Pelbagai pilihan corak pelitup muka songket yang dihasilkan oleh Pengasas bersama Nazkods Enterprise, Khairunnisa Ahmad Zamri. - Foto BERNAMA

Menariknya, Khairunnisa berkata aksesori yang dihasilkan itu juga adalah eksklusif kerana corak songket adalah berbeza dan mungkin hanya lima pembeli akan mendapat corak yang hampir sama.

"Memang ada yang menghasilkan aksesori seperti ini tetapi mereka menggunakan corak cetakan songket dan bukannya kain songket sebenar. Jadi, pelanggan terkejut kerana mengakui susah untuk mendapatkan produk seperti ini, malah ia juga mudah dibasuh dengan cara dibilas dengan air sabun," katanya.

Menurutnya, syarikat juga berhasrat menghasilkan produk batu seremban, sejenis permainan tradisional yang diperbuat daripada kain songket untuk dijadikan cenderamata.

Jelajah AKM Negeri Kedah yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat berakhir hari ini dan ia adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

-- BERNAMA