PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak tahan dengan 'sindiran' terhadap prestasi Manchester United yang setakat ini sangat tidak memberangsangkan.

Ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, perdana menteri menegaskan beliau sememangnya penyokong setia pasukan The Red Devils.

Anwar memberitahu sering menjadi 'bahan sindiran' dalam kalangan cucu-cucunya yang memilih menyokong pasukan lebih menyinar iaitu Arsenal dan Liverpool.

"Saya ini penyokong Manchester United, jadi cucu-cucu kata saya ini sudah ketinggalan zaman, kegemilangan kelab itu sudah berlalu.

"Saya kata tidak, saya tidak mampu lagi menukar pasukan. Mereka penyokong Arsenal, sebahagian kecilnya Liverpool. Saya kata tidak, saya tidak akan bersama dengan mereka," ujar beliau.

Manchester United pada Ahad lalu dimalukan Liverpool di Old Trafford apabila tewas 0-3.

Ia merupakan kekalahan kedua The Red Devils daripada tiga perlawanan musim ini.

Kekalahan kepada musuh tradisi itu menyebabkan timbul semula spekulasi mengenai masa depan pengurus pasukan Erik Ten Hag bersama Manchester United.

Apatah lagi selepas Manchester United membawa masuk lima pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan bagi mengharungi musim ini.