Skim baharu pemberian air percuma yang akan dihadkan kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah sahaja benar-benar menghairankan.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, lebih dikesalkan, mereka yang memenuhi syarat tidaklah layak secara automatik tetapi perlu pula membuat permohonan bagi membolehkan mereka menikmati pemberian air percuma ini.

Jelasnya, tindakan itu bukan sahaja akan menyukarkan rakyat malah boleh menyebabkan berlakunya keciciran bagi isi rumah yang mungkin tidak mengetahui tentang perkara berkenaan.

“Kerajaan Selangor hari ini membuat pengumuman berkenaan Skim Air Darul Ehsan sebagai langkah baharu bagi menggantikan program Pemberian Air Percuma di bawah Inisiatif Peduli Sihat.

“Menerusi skim baru ini, pemberian air percuma kepada semua penduduk Selangor yang sedang dilaksanakan ketika ini hanya akan dihadkan kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah sahaja dan akan dikuatkuasakan pada Mac 2020.

“Penjajaran baru pemberian air percuma ini bukanlah perkara baru kerana perkara ini telahpun dinyatakan di dalam pembentangan Belajawan Negeri 2019 pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

BACA: Air Selangor pemegang lesen tunggal perkhidmatan air mulai 13 Sept

BACA:
Semakin banyak insentif untuk rakyat Selangor disekat - Ketua Pembangkang

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan itu diambil di atas faktor peningkatan jumlah penduduk yang memberi kesan besar kepada jumlah kewangan dibelanjakan bagi menampung subsidi bantuan tersebut.

Dalam pada itu kata Rizam, rakyat masih belum lupa bagaimana Pakatan Harapan (PH) menggunakan modal pemberian air percuma di Selangor untuk memancing undi di negeri-negeri lain.

“Mereka memberi gambaran kononnya kerajaan negeri apabila dikuasai oleh PH akan turut menggunakan model yang sama bagi memberi air percuma kepada rakyat.

“Namun selepas menawan bukan sahaja negeri-negeri lain malah menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan, lain pula jadinya.

“Pemberian air percuma di negeri Selangor yang kononnya akan menjadi model kepada pentadbiran negeri lain akhirnya kini diterhadkan kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja,” ujarnya.

Lebih menghairankan tambah Rizam, perkara itu terjadi apabila Kerajaan Negeri telah mengambil alih semua syarikat dan aset berkaitan pembekalan air di Selangor dengan harga yang sangat tinggi.

“Apabila semua aset ini telah menjadi milik negeri, seharusnya lebih mudah untuk Kerajaan Negeri untuk meneruskan pemberian air percuma.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri harus diingatkan tentang cadangan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat tentang cadangan untuk menaikkan tarif air di seluruh negara tidak lama lagi.

“Dengan kata lain, sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan cadangan kenaikan tarif air ini, bermakna isi rumah yang sebelum ini mendapat air percuma turut terpaksa menanggung dua kali kenaikan dalam bil air bulanan mereka,” jelasnya.

Katanya lagi, jika sebelum ini Kerajaan Negeri sering mendabik dada sebagai kononnya kerajaan contoh, kini ternyata segala kata-kata dahulu hanyalah sandiwara untuk memancing undi rakyat.

“Malangnya nasib rakyat, undi dan kuasa telah diberikan, tetapi satu persatu inisiatif atau bantuan telah ditarik atau dikurangkan,” tegasnya.