KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus fokus dan berganding bahu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain dalam pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) membabitkan laluan sempadan keluar negeri.

Ini susulan penamatan SJR tengah malam tadi selepas peralihan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menzahirkan penghargaan buat petugas barisan hadapan ATM atas usaha keras membantu pelaksanaan SJR di sekitar Lembah Klang.

"Tabah bekerja siang malam, cekal bertugas dalam ribut, hujan, panas, sabah walau kurang masa dengan keluarga.

"Demi rakyat, untuk negara," katanya dalam muat naik di Facebook, pada Jumaat.

 
Sumber Facebook HishammuddinH2O

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Lembah Klang akan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa hari ini.

Antara kelonggaran yang diberikan adalah rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin.