KERAJAAN Pakatan Harapan yang mentadbir negeri Johor pada hari ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding negeri-negeri lain iaitu, Johor mewarisi satu tradisi kemodenan pentadbiran kerajaan negeri.

Tradisi dari sejarah lama ini telah terbukti berjaya diterjemahkan hingga menjadikan Johor antara negeri termaju di antara negeri-negeri Selat yang lain ketika itu.

Menurut pakar sejarahwan negara, mendiang Profesor Khoo Kay Kim dalam buku ‘Sejarah Masyarakat Melayu Moden’. Negeri-negeri Melayu pada kurun ke-19 menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan kaedah sistem Barat, yakni British.

Namun, kerajaan Johor moden dianggap telah berjaya menyerapkan sistem tersebut dalam pentadbiran atau birokrasi dan sistem pendidikannya dengan cermat dan lancar.

Sistem birokrasi moden ini diperkenalkan sendiri oleh anak Johor, bukan pegawai British. Birokrat tempatan ini lahir dari sistem sekolah moden Johor tersebut.

Siapakah birokrat yang dimaksudkan ini? Merekalah yang dikenali sebagai Johor Civil Service (JCS). Dato
Onn, Dato' Abdul Rahman Andak dan lain-lain antara nama besar yang lahir dari kumpulan elit birokrat ini. Ketika Persekutuan Malaysia belum muncul, kumpulan JCS memain peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan politik kerajaan Johor.

Tidak keterlaluan jika boleh dikatakan, JCS inilah ‘wakil rakyat’ di zaman itu sebagai pentadbir tanah dan daerah. Tradisi ini meletakkan dinamika politik Johor sangat unik.

Sejarah inilah menjadi salah satu faktor kelebihan kepada Johor. Apakah kelebihan itu?

Kumpulan pentadbir ini merupakan kumpulan profesional yang arif tentang selok belok pentadbiran negeri. Mereka dilatih secara intensif dari peringkat bawah hingga ke peringkat pegawai kanan. Mereka bukan hanya dilatih tentang selok-belok kerja-kerja ‘clerical works’ tetapi juga sebagai perunding bagi kerajaan.

Bukan untuk meremehkan peranan wakil rakyat dalam pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya, kelebihan wakil-wakil rakyat kerajaan adalah mereka dipilih dan diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan.

Mandat ini tidak dimiliki oleh birokrat.

Maka sinergi antara pihak yang mendapat mandat rakyat menerusi pilihanraya dengan kumpulan birokrat yang terlatih dan profesional, perlu seiring dan kuat.

Pada dasarnya, wakil-wakil rakyat ini dicalonkan oleh pimpinan parti di peringkat pusat, mereka ini diamanahkan untuk membawa obor perjuangan rakyat secara menyeluruh dalam konteks kenegaraan. Ahli politik umumnya tidak dilatih sebagai pentadbir.

Maka, apabila menjadi sebuah kerajaan di peringkat negeri, mereka ini memerlukan sekumpulan manusia yang arif akan selok-belok pengurusan negeri seperti JCS untuk membantu sebagai jururunding dalam melaksanakan misi kerajaan dengan lebih licin dan cekap.

Apabila bercakap tentang agenda pembangunan sesebuah negeri, kita tidak dapat mengelak dengan dinamika politik di peringkat persekutuan. Apabila kita merdeka sebagai sebuah negara, konsep federalisme ini berfungsi dan diguna pakai di semua aspek pentadbiran dan undang-undang. Ia saling terkait dan tak dapat dipisahkan antara satu sama lain.

Kerajaan PH negeri sememangnya perlu mendakap matlamat federalisme sebagai sebuah agenda Negara Bangsa dan pada masa yang sama kemajuan di peringkat negeri juga harus seiring. Di sinilah pentingnya sinergi yang kuat antara kerajaan negeri dengan birokrat JCS.

Orang-orang politik tidak akan dapat lari dari sikap kepartian, kadangkala ia berlebihan. Hal ini tak perlu saya sembunyikan kerana ia sememangnya suatu realiti. Dan realiti ini juga difahami oleh kumpulan birokrat kerajaan.

Namun begitu, dalam konteks mentadbir sebuah kerajaan yang mengurus sumber-sumber hasil bumi dan cukai-cukai rakyat, kedua belah pihak harus profesional dan saling meyakini.

Perkara ini tidak dapat dielakkan oleh mana-mana pihak.

Malah, dalam konteks ini, Johor mempunyai sejarah dan tradisi pentadbiran yang kuat yang harus sama-sama kita hormati.

Kerajaan memerlukan satu pasukan kerja yang mantap bukan sekadar untuk mencapai objektif pentadbiran, malahan ia bertujuan untuk memastikan keperluan dan kebajikan rakyat itu diselenggara dengan pantas dan maksimum.

Teringat saya kata-kata seorang penulis Amerika yang berasal dari Mesir dalam bukunya ‘Rise Up and Salute the Sun : The Writings of Suzy Kassem’ - " Sistem yang korup berlaku apabila ia didorong oleh matlamat keuntungan semata-mata, tidak didorong untuk memberi kepentingan terbaik kepada rakyatnya."

Memasuki tahun kedua sebagai sebuah kerajaan negeri yang baharu, kerajaan Johor boleh bergerak lebih pantas dengan kerjasama erat birokrat yang profesional. Hanya dengan kolaborasi ini kepentingan rakyat dapat dicapai.

Kolaborasi ini juga akan membawa rakyat Johor ke satu Naratif Baharu.

Naratif yang akan memberi peranan yang lebih besar kepada rakyat dengan sikap kerajaan sebagai ‘consultative government’ dengan pendekatan ‘bottom-up’ bukan sepertimana kerajaan sebelumnya.

Sesuatu idea, bukan hanya dimonopoli oleh ahli politik, tetapi juga boleh datang dari kumpulan profesional. Kedua pihak memerlukan ruang yang lebih kondusif untuk bergerak.

Insyaallah, Naratif Baharu akan berkembang mekar di Johor, tanah tumpah darahku.


* Mahdzir Ibrahim ialah Pegawai Dasar Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.