Menurut Perdana Menteri, perihal ini boleh dilaksanakan menerusi program yang berkesan.
Tambah beliau, di sebalik pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu, apa yang membimbangkan ialah apabila wujud 'sindrom kebergantungan' dalam kalangan golongan terbabit.
"Kita harus jadikan ini satu pengajaran kerana tidak cukup resolusi, dasar dan hebahan tapi mesti program pelaksanaan.
"Kadang-kadang pelaksanaan itu disinggung, (saya) meminjam pandangan pemikir iaitu Samir Amin tentang 'Sindrom Kebergantungan', kita bantu tapi tidak bantu merdekakan mereka dari sudut ekonomi tapi bantu sekadar mereka hidup.
"Golongan rentan ini kekal bergantung kepada penguasa, jadi penguasa dapat faedah politik kerana orang ini akan survive bergantung kepada kita, ini sindrom kebergantungan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Isnin.
Tegas Perdana Menteri, situasi begini tidak wajar dibiarkan di bawah kerajaan pimpinannya dan perlu mencari penyelesaian segera.
"Walaupun angka hampir dua tahun ini kemiskinan tegar fokus jumlah yang ada pada tahun 2022 (hampir) diselesaikan. Ya betul di peringkat itu kita berjaya, tapi tidak berjaya melepaskan membebaskan mereka dari sudut ekonomi,” ujar Anwar lagi.