PUTRAJAYA: Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri motosikal di sekitar daerah Sepang selepas menahan dua lelaki menerusi Op Lejang di Lurah Bilut, Bentong pada 13 Dis lepas.


Ringkasan AI
  • Polis menahan dua lelaki berumur 21 dan 23 tahun dalam Op Lejang di Lurah Bilut, Bentong pada 13 Disember, yang dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri motosikal di daerah Sepang.
  • Polis merampas tiga motosikal Yamaha Y15ZR, sebuah Honda EX5, dan dua gugus kunci, serta percaya telah menyelesaikan empat kes curi motosikal.
  • Suspek mencari motosikal tidak dikunci dan menundanya ke rumah di Kampung Labohan Dagang untuk menukar kunci.
  • Salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dan kedua-duanya direman tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata kedua-dua suspek berumur 21 dan 23 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 malam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Lurah Bilut.

Beliau berkata pihaknya merampas tiga motosikal Yamaha Y15ZR, sebuah Honda EX5 serta dua gugus kunci daripada kedua-dua lelaki itu dan pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal yang dilaporkan sebelum ini.

"Modus operandi mereka ialah mencari motosikal tidak dikunci dan akan menundanya ke sebuah rumah di Kampung Labohan Dagang, Banting seterusnya menukar kunci motosikal yang baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang daripada lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala hasil ujian air kencing kedua-dua suspek negatif.

Norhizam berkata siasatan awal mendapati mereka menggunakan wang hasil kegiatan ini antaranya untuk membeli dadah dan kedua-duanya direman tiga hari bermula 14 Dis bagi siasatan lanjut dengan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA