KUALA LUMPUR: Setelah hampir dua dekad melarikan diri, seorang taikun warga Singapura yang terlibat dalam kes penyelewengan AS$51 juta (RM227 juta) akhirnya berjaya ditangkap bersama isterinya di Johor, semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata kejayaan memburu taikun yang licik melarikan diri sejak 19 tahun itu hasil risikan dan intipan lebih setengah tahun serta kerjasama rapat antara SPRM dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura.

Beliau berkata operasi memburu taikun itu bermula sejak April lepas apabila Pengarah CPIB telah melawat ibu pejabat SPRM untuk membincangkan kes ini secara terperinci.

"Susulan mesyuarat itu, CPIB menghantar permohonan rasmi untuk pelaksanaan waran tangkap di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 [Akta 621] dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 (Akta 25)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebelum pelaksanaan waran, pasukan risikan SPRM telah mengumpulkan maklumat penting termasuk foto pemantauan serta butiran peribadi suspek.

Tambah beliau analisis lanjut oleh CPIB menggunakan teknologi pengecaman wajah menunjukkan kemungkinan 70 peratus bahawa seorang daripada individu itu adalah suspek yang dicari.

Beliau berkata hasil kerjasama SPRM, lokasi serta butiran peribadi suspek termasuk nombor pasport serta nombor telefonnya berjaya dikesan sebelum Pejabat SPRM Johor melaksanakan tangkapan tersebut.

"Kejayaan ini menandakan kemuncak kepada operasi menyeluruh yang melibatkan pengumpulan risikan, pemantauan dan kerjasama erat antara agensi. Operasi ini menunjukkan komitmen SPRM melalui Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) terhadap kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan.

"Ini sekali gus menunjukkan kepentingan perkongsian maklumat risikan, pemantauan, serta kolaborasi agensi dalam menegakkan keadilan," katanya.

Usahawan Singapura berkenaan yang didakwa terlibat dengan kes penyelewangan dana membabitkan nilai lebih AS$51 juta (SGD$ 72 juta ketika itu) dilaporkan telah melarikan diri bersama pasangannya sejak 19 tahun lepas.

Bekas ketua pegawai eksekutif syarikat kitar semula di Singapura itu dilaporkan menyalahgunakan bahan buangan elektronik dengan menjualnya kepada sindiket di Taiwan dan Hong Kong bukan memproses bahan itu bagi mendapatkan semula logam berharga seperti yang sepatutnya.

-- BERNAMA