SHAH ALAM: Polis membongkar aktiviti pengedaran 'biskut  ganja' yang dijual serendah RM50 untuk satu bekas dengan penahanan empat individu termasuk tiga beranak di sekitar Lembah Klang, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua daripada suspek itu bekerja sebagai tukang masak di sebuah kantin sekolah dan penghantar makanan, sementara masing-masing seorang pelajar dan penganggur.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada kira-kira pukul 9.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, pihaknya menahan tiga individu iaitu sepasang suami isteri serta anak perempuannya ketika menaiki kereta jenis Proton Saga di Setia Alam, Shah Alam.

Katanya, pemeriksaan menemui dadah jenis ganja seberat kira-kira 316 gram.

"Berdasarkan siasatan awal, mereka yang bertindak sebagai 'transporter' itu dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.

"Soal siasat kemudian membawa tangkapan seorang lelaki di sebuah kondominium di Ampang dengan rampasan ganja seberat 6.43 kilogram termasuk beberapa bekas biskut yang bercampur ganja. Siasatan awal mendapati 'biskut' ini dijual dengan harga RM50 bagi setiap bekas.

"Kita percaya suspek lelaki ini merupakan dalang, manakala pemandu kereta ditahan bersama isteri dan anak disyaki transporter yang sedang dalam perjalanan untuk menghantar dadah kepada pembeli," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Hussein memberitahu, nilai ganja berjumlah kira-kira RM21,000 itu dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada isteri dan anak suspek itu terlibat dalam kegiatan pengedaran atau sebaliknya.

Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang lelaki diberkas sepasukan BSJN IPD Klang Utara, Selasa lalu, sebelum membawa serbuan di dua rumah.

Jelasnya, serbuan rumah pertama di Klang menemui dadah jenis MDMA seberat 155 gram dan ketamin 0.59 gram, manakala serbuan rumah kedua di Setia Alam yang dijadikan sebagai mini makmal turut merampas dadah jenis ekstasi (5.3 kg), cecair syabu (2,240 mililiter), syabu (2.1 kg), heroin (1.19 kg) selain peralatan memproses dadah.

"Dadah bernilai RM1.06 juta itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang," ujarnya.