Empangan Malut di Kedah merupakan satu-satunya empangan yang masih menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya susulan cuaca panas, iaitu 28.50 peratus hingga semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi satu kenyataan hari ini yang memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan empat empangan lain menunjukkan baki stok simpanan semasa air mentah berada pada paras amaran.

"Empat empangan itu ialah Empangan Muda di Kedah yang merekodkan paras 32.17 peratus, Empangan Timah Tasoh di Perlis (47.43 peratus), Empangan Sembrong Barat di Johor (47.64 peratus) dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang (47.9 peratus)," menurut NADMA dalam laporan ringkas berkaitan status cuaca panas hari ini.

NADMA memaklumkan pada 30 Mei lepas, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi satu lembangan sungai, iaitu Lembangan Sungai Muda, Kedah.

Berkaitan status cuaca panas, menurut NADMA pada 1 hingga 3 Jun tiada daerah mencatatkan cuaca panas tahap 1 iaitu tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang- kurangnya tiga hari berturut-turut kecuali daerah Mukah, Sarawak yang mencatatkan cuaca panas tahap 1 pada 1 Jun.

"Sepanjang tempoh hingga 3 Jun, tiada kawasan mencatatkan tahap gelombang haba di Malaysia. Bagi tempoh laporan dari 4 hingga 10 Jun pula dijangkakan corak cuaca yang sama akan berlaku iaitu tahap amaran paling maksimum yang akan dikeluarkan adalah pada tahap 1 sahaja," menurut agensi berkenaan.

NADMA memaklumkan sepanjang tempoh 29 Mei hingga hari ini, terdapat dua kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu di Kedah (Alor Setar) dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) dicatatkan ialah 104 dan di Terengganu (Kuala Dungun) ialah 180.

Hasil pemantauan agensi berkenaan hingga semalam mendapati jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 93 kes berbanding 88 pada 27 Mei, dengan pecahan kes mengikut diagnosis adalah 21 kes strok haba, 67 kes kelesuan haba dan lima kes kejang haba.

-- BERNAMA