SEJUMLAH 285 nyawa telah terkorban atau secara purata 57 maut setiap tahun akibat jalan raya berlubang yang telah dicatatkan dalam tempoh lima tahun dari 2014 hingga 2018.

Walaupun sejak kebelakangan ini terdapat persepsi bahawa semakin meningkat jumlah nahas di jalan raya akibat faktor keadaan jalan raya berlubang, peratusan kematian secara purata kerana punca jalan berlubang daripada jumlah keseluruhan kematian di jalan raya di seluruh negara dalam tempoh lima tahun adalah 0.85%.

Data yang diperolehi dari laporan statistik tahunan oleh Polis Diraja Malaysia telah menunjukkan bahawa punca kematian kerana jalan berlubang pada tahun 2018 hanya 0.88% dari keseluruhan kematian nahas jalan raya di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, kejadian yang direkodkan oleh polis tidak mencatatkan sama ada insiden jalan berlubang berlaku di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) atau jalan negeri/daerah di bawah pihak berkuasa tempatan.

Pada tahun 2018, terdapat 55 kematian dengan 16 parah dan 40 cedera ringan.

Jumlah kematian tertinggi disebabkan oleh insiden berlubang adalah 101 (pada tahun 2015) atau 1.5% daripada keseluruhan kematian di jalan raya.

Pada masa analisa ini ditulis, laporan statistik tahunan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman untuk tahun 2019 dan tahun lalu masih belum diterbitkan.

Yang jelas, rakyat semakin kecewa dengan kisah keadaan jalan raya yang menyedihkan berikutan dua kes kematian yang disebabkan oleh jalan berlubang.



Pada 3 Januari, seorang warga emas yang dalam perjalanan dari Taman Connaught menuju ke Mid Valley telah terbunuh apabila motosikal yang ditunggang mendiang melanggar lubang di Jalan Tengah. Kejadian tersebut menyebabkan penunggang motosikal berusia 75 tahun itu tercampak sejauh 30 meter.

Sehari kemudian, seorang penunggang motosikal penghantar makanan berusia 31 tahun gugur setelah kenderaannya hilang kawalan merempuh jalan berlubang di Jalan PJU 7/2 berhampiran The Curve di Mutiara Damansara.



Walaupun kematian yang berkaitan dengan insiden lubang jalan hanya merupakan peratusan kecil kematian jalan raya pada sepanjang tahun, orang ramai sangat kritikal dengan tindakan cuai oleh Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan dalam memperbaiki kerosakan jalan raya.

Insiden jalan berlubang menarik perhatian orang ramai setelah JKR meminta maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang cedera setelah terjatuh akibat lubang jalan ketika berbasikal di Jalan Kg Sri Cheeding, Banting pada 27 Disember. Kurang dari 24 jam kemudian, kontraktor dari JKR membuat tindakan pantas perbaiki keadaan jalan di lokasi tersebut.

Berikutan itu, aktivis komuniti selamat Tan Sri Lee Lam Thye mengecam ‘layanan khas’ oleh JKR berserta tindakan pantas agensi tersebut selepas insiden yang melibatkan seorang Menteri Kabinet dan mengutarakan alasan mengapa tidak ada permohonan maaf yang diberikan kepada rakyat selepas banyak kejadian serupa yang melibatkan pengguna jalan raya selama ini.

"Ramai yang telah mengalami kejadian sedemikian di masa lalu. Ada yang mengalami cedera parah dan ada juga yang kehilangan nyawa akibat lubang di jalan raya tetapi tiada permohonan maaf yang dikeluarkan oleh mereka,” Lee menegaskan.

Yang pasti, sikap alpa dan memilih bulu pihak berwajib berkaitan penyelenggaraan jalan raya awam harus tamat segera agar tidak ada lagi kematian dan kecederaan di jalan raya seluruh negara kerana faktor penyelenggaraan yang teruk.

Yang menimbulkan persoalan; mengapakah kerap tiada tindakan serius oleh mereka yang bertanggungjawab selama ini.



* Penulis merupakan aktivis keselamatan jalan raya dan ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang sentiasa mengkaji dan giat meningkatkan usaha ke arah jalan raya lebih selamat.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.