SEPANG: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menerima lima laporan berhubung kejadian bongkah batu yang jatuh di atas jalan raya dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuala Lumpur malam semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari'at dalam kenyataan hari ini berkata dalam kejadian pukul 8 malam itu, siasatan di lokasi mendapati sebanyak lapan kereta dan satu motosikal terlibat dalam kejadian terbabit.

"Kejadian berlaku apabila bongkah konkrit yang dimuatkan di atas sebuah kenderaan dipercayai lori telah jatuh ke atas lebuh raya dan saiz bongkah konkrit itu yang tidak begitu besar menyebabkan kenderaan yang melalui lebuh raya itu tidak menyedari objek berkenaan dan melanggarnya.

"Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan serius yang berlaku kecuali penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan," katanya.

Beliau turut menasihati mangsa lain yang terlibat dalam kejadian itu untuk membuat laporan polis dengan segera.

Azman berkata pihaknya juga memohon sekiranya ada saksi bebas atau mana-mana kenderaan yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka semasa objek terbabit jatuh dari kenderaan dan insiden kemalangan itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Trafik IPD KLIA Inspektor Arif Jantan melalui talian 013-640 4165 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA