Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 12 Dis tahun lepas.
"Hasil semakan mendapati tiada laporan polis dibuat berkenaan insiden itu di kawasan IPD JBS.
"Pengamatan kasar terhadap video tersebut di TikTok mendapati kejadian kemungkinkan berlaku pada 12 Dis 2023 pada jam 8.33 malam seperti yang tertera dalam rakaman kamera papan pemuka (dash cam)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit 28 saat itu memaparkan pemandu kereta tersebut menghentikan sebuah kereta pengguna lain di tengah jalan yang dilihat membuat pusingan U dan memasuki laluannya.
Pemandu lelaki itu kemudiannya bertindak keluar daripada kenderaan dan menegur pengguna kereta tersebut yang didakwa tidak memberikan isyarat untuk memasuki laluannya setelah membuat pusingan U.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata pemandu tersebut telah diberi teguran dan amaran oleh pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus memaklumkan beliau tidak berada di dalam kereta tersebut ketika kejadian berlaku.
"Menurut pemandu, tindakannya (memberhentikan kereta) untuk memberikan nasihat kepada pemandu kenderaan terbabit kerana memandu secara berbahaya.
"Mungkin cara dan nada suaranya agak kurang sesuai dan dia telah diberikan amaran oleh pengurusan kerajaan negeri. Dia juga telah diminta untuk memberikan kerjasama sekiranya terdapat laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Beliau pada masa sama memohon maaf bagi mewakili pemandu kenderaan rasminya itu sekiranya kejadian tersebut telah menyebabkan sebarang perselisihan faham.
-- BERNAMA