KUALA LUMPUR:"Sesungguhnya sesudah kesulitan ini ada kemudahannya."

Itu titipan pesanan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkongsikan Surah Al-Insyirah kepada 'anak buahnya', petugas barisan hadapan dalam mendepani tugasan yang mencabar memerangi wabak COVID-19 ketika ini.

Peringatan itu dikongsi beliau di laman Facebook peribadinya, yang ditujukan kepada semua petugas kesihatan di barisan hadapan dan di sebalik tabir.

 
Sumber Facebook DGHisham

Beliau berharap, kesemua petugas ini mengekalkan usaha bersungguh-sungguh memerangi penularan COVID-19 dalam negara khususnya di Sabah dengan mengambil langkah proaktif serta 'preemptive' dan mengambil tindakan kesihatan awam di lapangan serta merawat pesakit di hospital.

"Sebelum kita berjuang setiap hari pasangkan niat kita 'nawaitu' kita berkhidmat demi Allah SWT dan InshaAllah akan dipermudahkan dan dilindungi InshaAllah," katanya.

Laungan semangat bertabah dan bersabar dalam tugasan sentiasa dilaungkan Noor Hisham kepada 'anak buahnya' kerana seluruh negara mengharapkan dan bergantung kepada mereka.

Penularan COVID-19 di negara memasuki gelombang ketiga dimana semalam sahaja menyaksikan 1,228 kes merupakan jumlah tertinggi dicatatkan sejak awal penularannya.

889 daripadanya dicatatkan di Sabah.