TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerugian RM60 juta setahun akibat perbuatan mencuri bekalan elektrik secara ketara di kawasan penempatan setinggan di Sabah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yaakob Jaafar.

Beliau berkata bagi mengekang kegiatan itu SESB mengambil langkah melaksanakan projek pengedar tenaga bebas (IPD) khas dengan menggunakan meter prabayar untuk pembekalan elektrik di kawasan terbabit.

"Ada banyak koloni setinggan yang telah dikenal pasti berlaku kecurian elektrik misalnya di Kampung Hidayat Tawau, amat jelas kita masuk pun kita nampak wayar 'berterbangan' sana sini.

"Meter prabayar IPD khas ini telah laksanakan di Kampung Flores, Sandakan dan kita akan laksana di kawasan lain di Sabah, selain setinggan di Tawau, kita sasar di Kampung Puyut, Lahad Datu, banyak kawasan penempatan di air berlaku kecurian elektrik, begitu juga di Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya konsep IPD adalah kaedah yang diluluskan kerajaan negeri dengan SESB akan melantik satu syarikat konsesi untuk membekalkan elektrik di kawasan terlibat dan caj pembayaran untuk tarif tiada subsidi adalah kira-kira 47 sen.

"Kita tidak mahu ada orang awam yang terkena renjatan elektrik akibat kabel, pendawaian yang merentang di mana-mana tempat dan apabila terpijak membawa maut," katanya lagi.

Berhubung kejadian bekalan elektrik terputus sehingga 17 jam di Kampung Pasir Putih di sini semalam, beliau berkata perkara itu terjadi berikutan 'transformer' di sebuah pencawang di sini mengalami kerosakan dan kerja-kerja penggantian sedang dilakukan.

"Mengenai kejadian semalam, rangka kerja asal adalah penutupan bekalan elektrik secara berjadual bagi kerja-kerja menaik taraf kabel SESB.

"Namun pada pertengahan kerja itu apabila kita hampir siap, bila buat pensuisan semula, tiba-tiba satu pencawang itu mengalami kerosakan, sehingga ke hari ini kerja-kerja penggantian dijalankan dan kita juga membekalkan elektrik melalui mobile genset," katanya.

Mohd Yaakob berkata pengguna yang mengalami masalah kerosakan peralatan elektrik susulan perkara itu boleh membuat aduan ke Pejabat SESB Tawau serta membawa dokumen termasuk laporan polis serta bukti kerosakan bergambar.

-- BERNAMA