LAHAD DATU: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau hari ini membuat laporan polis berhubung kegiatan mencuri elektrik menerusi penyambungan secara haram yang terang-terangan berlaku di Kampung Puyut di sini.

Beliau yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini berkata pasukan SESB melakukan tinjauan di kawasan terbabit dan mendapati penduduk kampung melakukan kesalahan serius tersebut.

"Dianggarkan 1,000 rumah yang terdapat di Kampung Puyut mengakibatkan kerugian yang besar kepada SESB sehingga mencecah RM1 juta.

"Laporan dibuat bertujuan memohon pihak polis menyiasat individu-individu yang terlibat dalam penyambungan haram, saya juga meminta agar siasatan dibuat sama ada penyambungan haram di Kampung Puyut ini dilakukan oleh sindiket atau kartel," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Madius berkata laporan itu juga dibuat bagi mengelak kejadian renjatan elektrik disebabkan penyambungan elektrik haram yang berbahaya serta mengancam nyawa.

-- BERNAMA