Tiada tangkapan dilakukan setakat ini susulan serbuan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ke atas pejabat portal berita The Star Online dan Malaysiakini, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, polis ketika ini sedang menganalisis bahan bukti yang dikumpul sebelum mengambil tindakan selanjutnya, termasuk merakam keterangan daripada individu-individu terlibat.

"Setakat ini kita dapatkan bahan bukti, kita mahu lihat apakah maklumat-maklumat yang sebenarnya disebarkan. Itu sahaja. Di peringkat ini, belum ada tangkapan," kata Noor Rashid dalam satu sidang media di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.


Menurut Timbalan Ketua Polis Datuk Seri Noor Rashid, pihak polis ketika ini sedang menganalis bahan bukti yang dikumpul sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Portal berita Malaysiakini dan The Star Online, pada Jumaat disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berikutan penyiaran artikel mengenai pertukaran Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang didapati berunsur fitnah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis yang difailkan oleh seorang pegawai Jabatan Peguam Negara pada Selasa lepas.

Zainuddin berkata pihaknya bersama pasukan JSJ Putrajaya dan SKMM telah hadir di kedua-dua pejabat portal berita itu di Petaling Jaya, kira-kira 6 petang semalam untuk menjalankan siasatan.

Jelas Zainuddin siasatan dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung artikel dikeluarkan mereka yang digunakan, seterusnya mengenal pasti pengarang terbabit untuk diambil keterangan.