PETALING JAYA: "Saya dianiaya, ini semua fitnah," kata bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autistik yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu, di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ia mengundang jeritan ahli keluarganya yang berkumpul di luar mahkamah.

Lelaki itu dibawa ke mahkamah pada jam 9.30 pagi ini untuk permohonan sambung reman.

Terdahulu, peguam Fahmi Abd Moin yang mengesahkan telah dilantik bagi mewakili ibu bapa kepada kanak-kanak itu, tiba di mahkamah pada 8.25 pagi.

Pada 6 Dis 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. - Sinar Harian