SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini memberikan perintah hak jagaan sementara adik lelaki kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin kepada nenek saudaranya, bermula Jumaat.

Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman memutuskan demikian selepas proses perundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peguam keluarga, Nurul Ikrimah Mohd Raya yang berlanjutan selama satu jam.

Nurul Ikrimah berkata, hak jagaan diberi selama dua bulan sehingga 4 Oktober depan.

Bagaimanapun, beliau berkata, bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan ibu, Ismanira Abdul Manaf, 29, boleh bertemu anak mereka dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi, antaranya boleh meluangkan masa, tidak lebih lapan jam, sekali dalam masa seminggu.

"Bagi proses terapi, pasangan suami isteri itu, boleh menemani anak mereka sekali sebulan dan membuat panggilan video pada bila-bila masa, secara tanpa had.

"Sepanjang tempoh perjumpaan, pelindung kanak-kanak itu (ibu saudara Zaim) perlu berada bersama," katanya.

Beliau berkata, Zaim dan Ismanira juga perlu membawa kanak-kanak itu bagi proses terapi khas, sekali setiap bulan.

Sementara itu, susulan keputusan itu, kanak-kanak berkenaan yang dibawa ke mahkamah, menceriakan keluarga Zaim dan Ismanira, yang tidak putus-putus mencium serta memeluk kanak-kanak berkenaan.

Pada 14 Jun lalu, adik kepada Zayn Rayyan ditempatkan di institusi kebajikan selama dua bulan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperoleh perintah jagaan sementara terhadap kanak-kanak berusia lima tahun itu di Mahkamah Majistret di sini.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan mati, pada keesokan harinya.

Pada 13 Jun lalu, ibu bapanya, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah, masing-masing satu pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, di sini pada jam 12 tengah hari 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam keesokkannya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian