KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 Disember depan untuk pengurusan kes tiga ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengorbankan dua anggota polis.

Pada tarikh berkenaan, pendakwaan dijangka membuat permohonan untuk kesemua kes dibicarakan bersama.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan Farhah Sobrina, 23, yang diwakili peguam, Faizal Rahman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan semula.

Kes itu dikendalikan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Razi dan Lina Hanini Abdullah di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid.

Sementara itu, di hadapan Hakim K Muniandy, mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi kes sebutan anak lelakinya, Radin Romyullah, 34, yang diwakili peguam Arief Firdaus Ashikin.

Dalam pertuduhan pertama, Radin Romyullah didakwa memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan militan aitu Abu Bakar Al-Baghdadi di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Radin Romyullah juga didakwa memiliki satu external hard disc yang mengandungi bahan-bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan perbuatan kumpulan itu di lokasi sama pada jam 10.45 pagi, 17 Mei dan jam 2.30 petang, 19 Mei lalu.

Dalam pada itu, Radin Imran berdepan tiga pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan Islamic State (IS).

Lelaki itu turut dituduh memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi yang disiasat mengikut Seksyen 130J(1)(a) kanun yang sama.

Selain itu, Radin Imran turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(b) kerana memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan IS.

Sementara itu, tertuduh Farhah Sobrina berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 130M, iaitu dia didakwa menyembunyikan apa-apa maklumat berkaitan kesalahan yang dilakukan.