TAPAH: Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang maut dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram di Johor, selamat dikebumikan pada 6.43 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di sini.

Terdahulu, van yang membawa jenazah tiba di tanah perkuburan itu pada 6.35 petang untuk dikebumikan dengan upacara Pengebumian Keperwiraan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jenazah diusung keluar dari van jenazah PDRM dengan Pergerakan Kawad Perlahan Jalan.

Sejurus itu, Jalur Gemilang yang menutupi keranda jenazah dilipat dan diserahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada bapa Allahyarham, Azhar Khaiden.

Ia sebagai mewakili kerajaan Malaysia untuk merakamkan penghormatan negara kepada Allahyarham dan keluarga.

Usai dikebumikan, talkin dibacakan bapa saudara Allahyarham, Tajaruddin Hassan.

Lebih 1,000 orang termasuk ahli keluarga, anggota PDRM dan penduduk kampung mengiringi perjalanan terakhir wira negara itu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi tiba di kediamannya di Kampung Poh Tambahan, Bidor di sini dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor kira-kira pukul 6 petang tadi.

Perarakan jenazah melibatkan 17 anggota dan seorang pegawai yang berpakaian istiadat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah disambut keluarga dalam keadaan penuh hiba.

Jenazah kemudian disolatkan dan diberikan penghormatan terakhir oleh kira-kira 500 ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir.

-- BERNAMA