Sekurang-kurangnya seorang meninggal dunia dan 10 lagi cedera dalam gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter yang melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada pukul 5.02 petang waktu tempatan (6.02 waktu Malaysia).

Wisma Putra dalam satu kenyataan malam tadi menyatakan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa ini.

"Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besarnya di Jakarta dan Konsul Kehormat di Makassar telah berhubung dengan para pelajar Malaysia yang berada di sekitar Makassar bagi memastikan keselamatan mereka," menurut kenyataan itu.





Rakyat Malaysia diminta supaya sentiasa tenang dan terus mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini berikutan masih terdapat beberapa gempa susulan.

BACA: Tsunami kuat landa bandar Palu, Sulawesi Tengah

BACA: Gempa bumi kuat gegar Minahassa, Indonesia


Rakyat Malaysia yang berada di sekitar Sulawesi Tengah yang memerlukan bantuan konsular hendaklah menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my atau talian +62 813 8081 3036.

-- BERNAMA