AGENSI Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan nasihat gempa mega pertamanya, meliputi 707 majlis perbandaran dari Okinawa ke wilayah Ibaraki, selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda wilayah Miyazaki pada Khamis.

Sebanyak 707 majlis perbandaran telah ditetapkan terlebih dahulu di bawah protokol untuk gempa raksasa yang dijangka berpunca di Palung Nankai di Lautan Pasifik Palung, yang mempunyai rekod sejarah gempa bumi besar yang berlaku secara berpasangan.

Penduduk di sepanjang pantai Pasifik digesa berhati-hati terhadap kemungkinan gempa mega pada minggu depan, menurut JMA, seperti dilapor Asahi Shimbun.

Gempa bumi pada Khamis yang berlaku pada 4.42 petang, mencatatkan kekuatan maksimum lebih rendah 6 pada skala seismik Jepun 7, di Nichinan, wilayah Miyazaki.

Pusat gempa berada sekitar 30 kilometer di luar pantai di laut Hyuganada pada kedalaman 30 km.

Ia berlaku dalam anggaran kawasan pusat gempa mega di Palung Nankai, yang membentang dari kawasan Tokai ke Kyushu di luar pantai Pasifik.

Kriteria dan syarat telah dipenuhi untuk JMA mengeluarkan apa yang digelar 'Maklumat Tambahan Gempa Palung Nankai'.

Mesyuarat panel JMA telah diadakan, dan pakar mengeluarkan nasihat gempa mega, amaran kedua tertinggi, buat kali pertama sejak sistem itu diperkenalkan pada November 2017.

Amaran gempa mega terkuat JMA memerlukan pemindahan lebih awal.

"Kemungkinan gempa bumi (Nankai Trough) berlaku kini beberapa kali lebih tinggi daripada biasa," Naoshi Hirata, Profesor Emeritus di Universiti Tokyo dan ketua panel JMA, berkata pada sidang akhbar.

Katanya lagi: "Kami tidak dapat memberitahu dengan tepat bila atau di mana gempa mega akan berlaku, tetapi kami mahu orang ramai bersedia,” katanya.

Di Wilayah Miyazaki, intensiti 5 atas direkodkan di bandar Kushima dan Miyakonojo pada 8 Ogos.

Amaran tsunami telah dikeluarkan untuk pantai Uwakai di Wilayah Ehime, Wilayah Kochi dan pantai Saluran Bungo di Wilayah Oita.

Gelombang tsunami setinggi 50 sentimeter melanda Wilayah Miyazaki.

Menurut Pejabat Kabinet, 14 orang cedera di wilayah Miyazaki, Kagoshima dan Kumamoto akibat objek terjatuh.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi berkata pada sidang akhbar pada Khamis bahawa tiada perkara luar biasa dikesan di kemudahan nuklear, termasuk loji kuasa nuklear Sendai di Satsumasendai, Wilayah Kagoshima.